Pada waktu umat manusia
dalam kegelapan dan suasana jahiliyyah, lahirlah seorang bayi pada 12 Rabiul Awal tahun Gajah di Makkah.
Bayi yang dilahirkan bakal membawa perubahan besar bagi sejarah peradaban
manusia. Bapa bayi tersebut bernama Abdullah
bin Abdul Mutallib yang telah wafat sebelum baginda dilahirkan iaitu
sewaktu baginda 7 bulan dalam kandungan ibu. Ibunya bernama Aminah binti Wahab. Kehadiran bayi itu
disambut dengan penuh kasih sayang dan dibawa ke ka'abah, kemudian diberikan
nama Muhammad, nama yang belum pernah wujud sebelumnya.
Selepas itu Muhammad
disusukan selama beberapa hari oleh Thuwaiba,
budak suruhan Abu Lahab sementara menunggu kedatangan wanita dari Banu Sa'ad.
Adat menyusukan bayi sudah menjadi kebiasaan bagi bangsawan-bangsawan Arab di
Makkah. Akhir tiba juga wanita dari Banu Sa'ad yang bernama Halimah bin Abi-Dhuaib yang pada
mulanya tidak mahu menerima baginda kerana Muhammad seorang anak yatim. Namun
begitu, Halimah membawa pulang juga Muhammad ke pedalaman dengan harapan Tuhan
akan memberkati keluarganya. Sejak diambilnya Muhammad sebagai anak susuan,
kambing ternakan dan susu kambing-kambing tersebut semakin bertambah. Baginda
telah tinggal selama 2 tahun di Sahara dan sesudah itu Halimah membawa baginda
kembali kepada Aminah dan membawa pulang semula ke pedalaman.
Kisah Dua Malaikat dan Pembedahan Dada Muhammad
Pada usia dua tahun,
baginda didatangi oleh dua orang malaikat yang muncul sebagai lelaki yang
berpakaian putih. Mereka bertanggungjawab untuk membedah Muhammad. Ketika itu,
Halimah dan suaminya tidak menyedari akan kejadian tersebut. Hanya anak mereka
yang sebaya menyaksikan kedatangan kedua malaikat tersebut lalu mengkhabarkan
kepada Halimah. Halimah lantas memeriksa keadaan Muhammad, namun tiada kesan
yang aneh ditemui.
Muhammad tinggal di
pedalaman bersama keluarga Halimah selama lima tahun. Selama itu baginda mendapat
kasih sayang, kebebasan jiwa dan penjagaan yang baik daripada Halimah dan
keluarganya. Selepas itu baginda dibawa pulang kepada datuknya Abdul Mutallib
di Makkah.
Datuk baginda, Abdul
Mutallib amat menyayangi baginda. Ketika Aminah membawa anaknya itu ke Madinah
untuk bertemu dengan saudara-maranya, mereka ditemani oleh Umm Aiman, budak
suruhan perempuan yang ditinggalkan oleh bapa baginda. Baginda ditunjukkan
tempat wafatnya Abdullah serta tempat dia dikuburkan.
Sesudah sebulan mereka
berada di Madinah, Aminah pun bersiap sedia untuk pulang semula ke Makkah. Dia
dan rombongannya kembali ke Makkah menaiki dua ekor unta yang memang dibawa
dari Makkah semasa mereka datang dahulu. Namun begitu, ketika mereka sampai di
Abwa, ibunya pula jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia lalu dikuburkan di
situ juga.
Muhammad dibawa pulang ke
Makkah oleh Umm Aiman dengan perasaan yang sangat sedih. Maka jadilah Muhammad
sebagai seorang anak yatim piatu. Tinggallah baginda dengan datuk yang
dicintainya dan bapa-bapa saudaranya.
"Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia
melindungimu. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung lalu Dia
memberikan petunjuk" (Surah
Ad-Dhuha, 93: 6-7)
Abdul Mutallib Wafat
Kegembiraannya bersama
datuk baginda tidak bertahan lama. Ketika baginda berusia lapan tahun, datuk
baginda pula meninggal dunia. Kematian Abdul Mutallib menjadi satu kehilangan
besar buat Bani Hashim. Dia mempunyai keteguhan hati, berwibawa, pandangan yang
bernas, terhormat dan berpengaruh dikalangan orang Arab. Dia selalu menyediakan
makanan dan minuman kepada para tetamu yang berziarah dan membantu penduduk
Makkah yang dalam kesusahan.
Muhammad diasuh oleh Abu Talib
Selepas kewafatan datuk
baginda, Abu Talib mengambil alih
tugas bapanya untuk menjaga anak saudaranya Muhammad. Walaupun Abu Talib kurang
mampu berbanding saudaranya yang lain, namun dia mempunyai perasaan yang paling
halus dan terhormat di kalangan orang-orang Quraisy. Abu Talib menyayangi
Muhammad seperti dia menyayangi anak-anaknya sendiri. Dia juga tertarik dengan
budi pekerti Muhammad yang mulia.
Pada suatu hari, ketika
mereka berkunjung ke Syam untuk
berdagang sewaktu Muhammad berusia 12
tahun, mereka bertemu dengan seorang rahib Kristian yang telah dapat
melihat tanda-tanda kenabian pada baginda. Lalu rahib tersebut menasihati Abu
Talib supaya tidak pergi jauh ke daerah Syam kerana dikhuatiri orang-orang
Yahudi akan menyakiti baginda sekiranya diketahui tanda-tanda tersebut. Abu
Talib mengikut nasihat rahib tersebut dan dia tidaak banyak membawa harta dari
perjalanan tersebut. Dia pulang segera ke Makkah dan mengasuh anak-anaknya yang
ramai. Muhammad juga telah menjadi sebagian dari keluarganya. Baginda mengikut
mereka ke pekan-pekan yang berdekatan dan mendengar sajak-sajak oleh
penyair-penyair terkenal dan pidato-pidato oleh penduduk Yahudi yang anti Arab.
Baginda juga diberi tugas
sebagai pengembala kambing. Baginda mengembala kambing keluarganya dan kambing
penduduk Makkah. Baginda selalu berfikir dan merenung tentang kejadian alam
semasa menjalankan tugasnya. Oleh sebab itu baginda jauh dari segala pemikiran
manusia nafsu manusia duniawi. Baginda terhindar daripada perbuatan yang
sia-sia, sesuai dengan gelaran yang diberikan iaitu "Al-Amin".
Selepas baginda mula
meningkat dewasa, baginda disuruh oleh bapa saudaranya untuk membawa barang
dagangan Khadijah binti Khuwailid, seorang peniaga yang kaya dan dihormati.
Baginda melaksanakan tugasnya dengan penuh ikhlas dan jujur. Khadijah amat
tertarik dengan perwatakan mulia baginda dan keupayaan baginda sebagai seorang
pedagang. Lalu dia meluahkan rasa hatinya untuk berkawin dengan Muhammad yang
berusia 25 tahun ketika itu. Wanita bangsawan yang berusia 40 tahun itu sangat
gembira apabila Muhammad menerima lamarannya lalu berlangsunglah perkawinan
mereka berdua. Bermulalah lembaran baru dalam hidup Muhammad dan Khadijah
sebagai suami isteri.
Turunnya Wahyu Pertama
Pada usia 40 tahun, Muhammad telah menerima wahyu yang pertama dan
diangkat sebagai nabi sekelian alam. Ketika itu, baginda berada di Gua Hira' dan sentiasa merenung dalam
kesunyian, memikirkan nasib umat manusia pada zaman itu. Maka datanglah
Malaikat Jibril menyapa dan menyuruhnya membaca ayat quran yang pertama
diturunkan kepada Muhammad.
"Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan" (Al-'Alaq, 96: 1)
Rasulullah pulang dengan
penuh rasa gementar lalu diselimuti oleh Khadijah yang cuba menenangkan
baginda. Apabila semangat baginda mulai pulih, diceritakan kepada Khadijah
tentang kejadian yang telah berlaku.
Kemudian baginda mula
berdakwah secara sembunyi-sembunyi bermula dengan kaum kerabatnya untuk
mengelakkan kecaman yang hebat daripada penduduk Makkah yang menyembah berhala.
Khadijah isterinya adalah wanita pertama yang mempercayai kenabian baginda. Manakala Ali bin Abi Talib adalah lelaki pertama yang beriman dengan
ajaran baginda. Dakwah yang sedemikian berlangsung selama tiga tahun di
kalangan keluarganya saja.
Dakwah Secara Terang-terangan
Setelah turunnya wahyu
memerintahkan baginda untuk berdakwah secara terang-terangan, maka Rasulullah
pun mulai menyebarkan ajaran Islam secara lebih meluas.
"Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa
yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang yang
musyrik." (Al-Hijr,
15:94)
Namun begitu, penduduk
Quraisy menentang keras ajaran yang dibawa oleh baginda. Mereka memusuhi
baginda dan para pengikut baginda termasuk Abu Lahab, bapa saudara baginda
sendiri. Tidak pula bagi Abu Talib, dia selalu melindungi anak saudaranya itu
namun dia sangat risau akan keselamatan Rasulullah memandangkan tentangan yang
hebat dari kaum Quraisy itu. Lalu dia bertanya tentang rancangan Rasulullah
seterusnya. Lantas jawab Rasulullah yang bermaksud:
"Wahai bapa saudaraku, andai matahari diletakkan diletakkan
di tangan kiriku dan bulan di tangan kananku, agar aku menghentikan seruan ini,
aku tidak akan menghentikannya sehingga agama Allah ini meluas ke segala
penjuru atau aku binasa kerananya"
Baginda menghadapi perbagai
tekanan, dugaan, penderitaan, cemoohan dan ejekan daripada penduduk-penduduk
Makkah yang jahil dan keras hati untuk beriman dengan Allah. Bukan Rasulullah
saja yang menerima tentangan yang sedemikian, malah para sahabatnya juga turut
merasai penderitaan tersebut seperti Amar dan Bilal bin Rabah yang menerima
siksaan yang berat.
Wafatnya Khadijah dan Abu Talib
Rasulullah amat sedih
melihat tingkahlaku manusia ketika itu terutama kaum Quraisy kerana baginda
tahu akan akibat yang akan diterima oleh mereka nanti. Kesedihan itu makin
bertambah apabila isteri kesayangannya wafat pada tahun sepuluh kenabiaannya. Isteri bagindalah yang tidak pernah
jemu membantu menyebarkan Islam dan mengorbankan jiwa serta hartanya untuk
Islam. Dia juga tidak jemu menghiburkan Rasulullah di saat baginda dirundung kesedihan.
Pada tahun itu juga bapa
saudara baginda Abu Talib yang mengasuhnya sejak kecil juga meninggal dunia.
Maka bertambahlah kesedihan yang dirasai oleh Rasulullah kerana kehilangan
orang-orang yang amat disayangi oleh baginda.
Hijrah Ke Madinah
Tekanan orang-orang kafir
terhadap perjuangan Rasulullah semakin hebat selepas kepergian isteri dan bapa
saudara baginda. Maka Rasulullah mengambil keputusan untuk berhijrah ke Madinah
berikutan ancaman daripada kafir Quraisy untuk membunuh baginda.
Rasulullah disambut
dengan meriahnya oleh para penduduk Madinah. Mereka digelar kaum Muhajirin
manakala penduduk-penduduk Madinah dipanggil golongan Ansar. Seruan baginda
diterima baik oleh kebanyakan para penduduk Madinah dan sebuah negara Islam
didirikan di bawah pimpinan Rasulullas s.a.w sendiri.
Negara Islam Madinah
Negara Islam yang baru
dibina di Madinah mendapat tentangan daripada kaum Quraisy di Makkah dan
gangguan dari penduduk Yahudi serta kaum bukan Islam yang lain. Namun begitu,
Nabi Muhammad s.a.w berjaya juga menumbuhkan sebuah negara Islam yang
mengamalkan sepenuhnya pentadbiran dan perundangan yang berlandaskan syariat
Islam. Baginda dilantik sebagai ketua agama, tentera dan negara. Semua rakyat
mendapat hak yang saksama. Piagam
Madinah yang merupakan sebuah kanun atau perjanjian bertulis telah
dibentuk. Piagam ini mengandungi beberapa fasal yang melibatkan hubungan antara
semua rakyat termasuk kaum bukan Islam dan merangkumi aspek politik, sosial, agama, ekonomi dan ketenteraan. Kandungan piagam adalah berdasarkan wahyu
dan dijadikan dasar undang-undang Madinah.
Islam adalah agama yang
mementingkan kedamaian. Namun begitu, aspek pertahanan amat penting bagi
melindungi agama, masyarakat dan negara. Rasulullah telah menyertai 27 kali ekspedisi tentera untuk
mempertahankan dan menegakkan keadilan Islam. Peperangan yang ditempuhi baginda
ialah Perang Badar (623 M/2 H), Perang Uhud (624 M/3 H), Perang Khandak (626 M/5 H) dan Perang Tabuk (630 M/9 H). Namun tidak
semua peperangan diakhiri dengan kemenangan.
Pada tahun 625 M/ 4
Hijrah, Perjanjian Hudaibiyah telah
dimeterai antara penduduk Islam Madinah
dan kaum Musyrikin Makkah. Maka dengan itu, negara Islam Madinah telah
diiktiraf. Nabi Muhammad s.a.w. juga telah berjaya membuka semula kota Makkah
pada 630 M/9 H bersama dengan 10.000 orang para pengikutnya.
Perang terakhir yang
disertai oleh Rasulullah ialah Perang
Tabuk dan baginda dan pengikutnya berjaya mendapat kemenangan. Pada tahun berikutnya, baginda telah
menunaikan haji bersama-sama dengan 100.000 orang pengikutnya. Baginda juga
telah menyampaikan amanat baginda yang terakhir pada tahun itu juga. Sabda
baginda yang bermaksud:
"Wahai sekalian manusia, ketahuilah bahawa Tuhan kamu Maha
Esa dan kamu semua adalah daripada satu keturunan iaitu keturunan Nabi Adam
a.s. Semulia-mulia manusia di antara kamu di sisi Allah s.w.t. ialah orang yang
paling bertakwa. Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak
akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang teguh dengan dua perkara itu,
iaitu kitab al-Quran dan Sunnah Rasulullah."
Wafatnya Nabi Muhammad s.a.w
Baginda telah wafat pada
bulan Jun tahun 632 M/12 Rabiul Awal
tahun 11 Hijrah. Baginda wafat setelah selesai melaksanakan tugasnya
sebagai rasul dan pemimpin negara. Baginda berjaya membawa manusia ke jalan
yang benar dan menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab, berilmu dan
berkebolehan. Rasulullah adalah contoh
terbaik bagi semua manusia sepanjang zaman.